I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, August 9, 2012

Sutera Baldu : Episod 19


Laju kereta milik Mifzal menyusur menuju ke ladang bunga Florizzo Rose. Sesekali Mifzal memandang Iman di sebelahnya. Iman hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Elok saja Iman melentokkan kepalanya di tepi tingkap. Pandangannya dilempar jauh keluar daripada dasar hati. Kata-kata Daiyan semalam asyik bermain di fikirannya.

“Baik kita putus..”

Sepatah kata yang keluar daripada mulut Daiyan bagaikan halilintar yang merentap segala denyutan jantungnya seketika. Aku sedang bermimpikah? Aku tersalah dengar?

“What?!! Putus? Why???”

“Tak ada sebab lagi untuk kita teruskan hubungan ini.”

“Tapi kenapa tiada sebab? Sebelum ni awak kata semoga hubungan kita ni sampai ke jinjang pelamin dan hingga ke akhir hayat. Tapi kenapa sekarang awak cakap macam ni?!”

Iman hilang sabar. Kenapa Daiyan perlu berubah sehingga ke tahap ini?

“Saya dah cakap tak ada sebab. Awak ni tak faham ke?”

“Saya memang tak faham sebab kenapa semua ni berlaku secara tiba-tiba? Apa salah saya sebenarnya?"

Air mata mengalir lagi. Apa semua ni? Kenapa Daiyan mahu memutuskan hubungan ini sedangkan sebelum ini jejaka itu yang begitu berhati-hati dalam membina hubungan ini.

Daiyan senyap membisu di sana. Dia berupaya menahan sendunya daripada didengari oleh Iman. Awak tak faham.. Awak tak faham..!

“Sudahlah, Iman..”

“Awak ni kenapa? Sebelum ni saya sms, awak bukan nak reply. Kalau saya call, punya la susah nak angkat. Awak ni ada masalah apa sebenarnya?”

“Awak tak kan faham!”

Iman memejamkan matanya rapat-rapat. Dia cuba untuk membuang bayangan Daiyan buat sementara waktu. Sakitnya hati, hanya dia yang tahu. Pandangannya tumpah pada tumbuh-tumbuhan menghijau. Dia mula rindukan suasana sawah padi di kampungnya.

Kereta diparkingkan sejurus mereka sampai di ladang. Iman yang sedang leka dengan lamunannya tidak berganjak langsung daripada tempat duduknya. Mifzal baru ingin mengejutkan Iman yang disangka tertidur mula menyedari keadaan Iman. Air mata itu mengalir lagi. Mifzal hanya membiarkan Iman seketika, setia menunggu di sebelah anak gadis itu.

Iman menyeka air matanya. Mifzal yang daripada tadi memerhati dapat melihat air mata itu mengalir sebelum sempat diseka Iman. Apa la yang bermain di fikirannya. Sebolehnya Mifzal ingin menyelami hati gadis itu.

Dihulurkan tisu buat Iman. Sekilas Iman menoleh ke arah Mifzal. Terkejut apabila ada seseorang yang menghulurkan tisu buatnya. Ingatan pada Daiyan hilang serta merta apabila matanya tertacap pada sebujur wajah yang tenang di sebelahnya.

Cepat Iman menundukkan kepalanya. Malu bila dilihat Mifzal akan matanya yang merah akibat menangis.

“Tak payah la nak tunduk-tunduk. Saya dah nampak pun muka awak yang sembab tu. Macam orang tua dah.”

Iman mengetap bibirnya. Cis!!

“Dah..Dah..Lama dah saya tunggu awak ni. Ambil tisu nih. Lap air mata tu tapi jangan habiskan semua tisu ni pulak. Betulkan tudung tu jugak. Senget-senget dah. Orang tak betul je pakai tudung senget macam tu. Saya tunggu awak kat luar ni.” kata Mifzal bersahaja. Tersenyum-senyum Mifzal dapat mengenakan Iman.

Mifzal segera keluar daripada kereta membiarkan Iman mengemaskan dirinya. Iman menggenggam kuat tangannya, geram. Disapu kasar air matanya, tanda protes. Bencinya aku dengan mamat ni. Suka cakap benda yang buat aku sakit hati..Arghh..

Cepat-cepat Iman membetulkan tudungnya yang dikatakan senget. Sesekali Mifzal mengetuk tingkap kereta meminta supaya Iman cepat bersiap. Terkial-kial Iman membelek matanya yang kelihatan sedikit merah. Alah, malu la nak keluar dengan mata bengkak macam ni. Sempat lagi Iman menyapu sedikit bedak di wajahnya dan mencalit sedikit lips balm di bibirnya.. Biar nampak segar sedikit.

Segera Iman keluar dari kereta apabila sudah betul-betul bersedia. Mifzal masih setia menunggunya.

“Buat apa lama sangat? Dah macam Mak Datin pergi tukar baju pulak.” kata Mifzal sambil memandang Iman. Iman hanya tunduk memandang ke bawah. Malas untuk menjawab.

Mereka melangkah masuk ke dalam kawasan ladang tersebut. Ada beberapa orang pekerja datang menyapa majikannya. Iman hanya tersenyum membalas apabila Mifzal memperkenalkannya kepada pekerja-pekerja yang ada di situ.

Dari jauh lagi Iman sudah dapat melihat kawasan tanaman bunga-bunga di situ. Waaahhhh.. Banyaknya bunga..

“Iman..” Mifzal memanggil..

Iman begitu leka melihat bunga-bunga di situ sehinggakan dia tidak mendengari panggilan daripada majikannya.

“Iman.. Awak tengok apa?” soal Mifzal sambil mendekati Iman dan berdiri di hadapan gadis itu. Iman terkejut. Siapa yang berdiri depan aku ni?

“Eh, bos.. Kenapa bos?” Iman memandang tepat ke arah majikannya.

“Tak dengar saya panggil?”

“Eh..??” Iman terkebil-kebil memandang Mifzal. Dalam fikirannya tertanya-tanya, bila bos panggil aku? Perlahan Iman menggeleng.

Mifzal mengeluh. Ish, kenapa la budak ni. Blur je memanjang.

“Saya panggil awak tadi. Beg awak tu pergi simpan dekat dalam pejabat. Nanti awak jalan-jalan kat sini, beg awak terlanggar bunga-bunga ni, rosak pulak. Nak ganti? nak?” Mifzal sedikit sergah. Mukanya sengaja di dekatkan dengan muka Iman. Mata Iman terjegil..

“Ye..nak..nak.. Eh, tak nak..tak nak..!” Berlari Iman masuk ke dalam pejabat. Tidak lama kemudian Iman muncul semula dengan senyuman yang meleret sambil mendekati Mifzal.

“Bos.. Kita nak buat apa sekarang? Petik bunga ke?” soal Iman. Jarinya sengaja dipatah-patahkan. Lagak seperti samseng yang bersedia untuk menyerang lawannya.

“Amboi..Semacam dah awak ni. Nak pergi berperang ke?” Mifzal memerli. Iman hanya memandang Mifzal sekilas. Kata-kata Mifzal tidak berbekas di hatinya walaupun sedikit.

“Kita melawat bunga je. Kalau awak yang petik, alamatnya rugi la saya sebab semua bunga rosak dikerjakan awak. Jom.. Emmm..semangat!” Mifzal mengerling sekilas pada Iman di sebelahnya. Sengaja dia memperlahankan suaranya ketika menyebut ‘semangat’ itu tadi. Niat di hati memang di tujukan khas kepada Iman.

______________________________

Suasana di rumah opah sunyi. Sunyi seperti kebiasaannya. Ye la.. Ada cucu seorang pun, dah belajar jauh di Kuala Lumpur. Bila la Iman akan pulang ke kampung ini semula.. Banyak hati yang merinduinya di sini.

Eqa tiba di hadapan rumah opah. Sengaja dia ingin melawat opah pada pagi itu. Dia turut mengajak Aish untuk bersamanya tapi keadaan ibunya yang tidak berapa sihat membuatkan Aish menolak. Eqa sendirian.

Diberi salam beberapa kali namun tiada yang menjawab seperti selalu. Opah pergi mana pulak pagi-pagi ni? Eqa menuju ke bahagian belakang rumah. Mungkin opah tidak mendengar salamnya tadi. Namun tetap sama. Tiada yang menjawab salamnya. Opah tiada di rumah.

Fikirannya ligat memikirkan ke mana opah sebenarnya. Selalu opah ada pada waktu-waktu begini. Eqa duduk di pangkin tepi rumah, tempat yang dia selalu menghabiskan masa dengan Iman dan Aish.

“Mana opah pergi ni? Ish, tak kan pergi sawah kot? Keluar beli makanan kot. Tak pun pergi rumah Mak Jemah beli minyak..Emm..” Eqa membuat andaian. Kalau nak terus balik, rasa tak sedap pulak. Biar la dia menunggu sebentar lagi. Mungkin opah akan balik tak lama lagi.

Eqa memandang sawah yang menghijau. Pandangan yang sangat damai. Sesekali kedengaran bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan. Ingatannya mula tumpah pada Iman. Rindunya nak bermain kejar-kejar di tepi sawah seperti dulu. Dia, Iman dan Aish. Pernah orang kampung berkata, besar nanti dia akan berkahwin dengan Iman dan Aish. Iman dan Aish bermadu.

Eqa ketawa bila teringat andaian orang kampung. Andaian itu timbul kerana hubungan antara mereka yang begitu akrab. Di sisinya sekarang cuma ada Aish.. Iman dah jauh.

Panas matahari pagi menyinari matanya. Kelibat opah tetap tidak kelihatan. Mungkin perlu aku beransur dulu. Petang nanti baru aku datang semula, berkata Eqa dalam hati. Dia kembali menyarungkan seliparnya.

Baru Eqa melangkah, kelihatan sebuah kereta mewah menyusur masuk ke perkarangan rumah opah. Siapa yang datang pagi-pagi ni?

Eqa mendekati kereta tersebut. Eqa cuba melihat kelibat orang di dalamnya. Mungkin dia kenal atau mungkin juga tidak.

Keluar seorang wanita dari kereta. Agak bergaya bagi pandangan Eqa. Dia hanya memerhati. Tidak pernah pula dia melihat wanita itu. Wanita itu membukakan pintu kereta di sebelah pemandu. Dia memimpin keluar seseorang.

“Opah!!” Berlari Eqa ke arah opah. Terkejut dia melihat keadaan opah yang kelihatan tidak bermaya.

“Tolong ambil beg opah kat seat belakang.” arah wanita tersebut. Eqa hanya menurut.

Mereka masuk ke dalam rumah. Opah di baringkan di bilik. Eqa meletakkan beg di tepi dinding. Eqa masih belum tahu apa yang terjadi kepada opah.

“Mak Wan rehat dulu ye. Ubat tu semua Amani dah letak kat atas meja ni.” Wanita itu bersuara. Amani? Siapa dia tu?

Eqa tidak boleh berhenti berfikir siapa wanita itu? Kenapa dengan opah? Eqa memandang opah dan wanita itu silih berganti. Seperti jawapan itu ada di wajah setiap orang.

“Tolong ambilkan air masak untuk opah ye..” Wanita itu memberi arahan lagi. Eqa hanya menurut.

Seketika Eqa kembali dengan segelas air masak di tangannya. Di hulurkan kepada wanita itu. Setelah siap memberi opah makan ubat, wanita itu meminta diri untuk pulang. Eqa menghantar wanita itu ke pintu hadapan.

“Emm..Maaf saya bertanya, puan ni siapa ye?”

“Saudara opah..” jawab dia pendek sambil tersenyum. Wanita yang membahasakan dirinya ‘Amani’ itu segera masuk ke dalam kereta dan meninggalkan rumah itu. Eqa masuk.

Dalam hatinya terlalu banyak persoalan namun berat untuk bertanyakan kepada opah. Dia duduk di sisi opah. Mata opah tertutup rapat. Mungkin opah dah tidur. Baru Eqa hendak bangun, kedengaran suara lemah opah memanggil namanya.

“Kenapa opah?”

“Janji dengan opah yang Eqa tak akan bagi tahu Iman pasal hal hari ni ye..” susah payah opah cuba menghabiskan kata-katanya.

“Ye, baik opah.. Eqa janji tak bagi tahu Iman pasal hal ni..” Eqa mengiakan permintaan opah.

Opah memejamkan matanya. Lega mendengar jawapan Eqa. Dia percayakan anak muda itu. Melihat opah kembali pejamkan mata, Eqa fikir opah memerlukan rehat yang secukupnya. Persoalan yang ada dalam mindanya di simpan dalam benak fikirannya. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk bertanya.

“Emm.. Opah rehat, tidur dulu ye. Tengahari nanti Eqa datang lagi.”

Sebelum beredar, Eqa menyediakan air masak dan diletakkan atas meja ubat bagi memudahkan sekiranya opah ingin minum air nanti. Tak perlu opah bersusah payah ke dapur lagi.

Daripada cara opah meminta perkara ini dirahsiakan seperti ada sesuatu yang tak kena. Macam ada rahsia lain yang disembunyikan. Wanita bergaya itu siapa? Saudara? Kenapa sebelum ni dia belum pernah nampak wanita itu datang ke rumah opah? Eqa cuba mengingati semula wajah wanita itu tadi. Persis wajah seseorang yang dia kenal.



2 comments:

kimi jamai said...

next2.. hehe.. :D

KaKTuS BeRDuRi said...

Kimi..Dah baca ke episod2 yang lain? hehe..

Meh Baca Yang Ni Jugak..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...