أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian
alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga
serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari
kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita seharian ada
perkara yang perlu kita segerakan untuk dilaksanakan dan ada pula perkara yang
perlu dijauhi dan ditinggalkan. Setiap perkara yang ditegah atau dilarang
sebenarnya terdapat beberapa hikmah dan kebaikan sama ada berbentuk luaran
(fizikal) atau dalaman (hati dan jiwa)
Terdapat 20 perkara yang patut dijauhi.
Perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai Allah SWT.
Kalau tertidur akan dimaafkan.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah
meninggalkan solat".
( HR : Muslim )
( HR : Muslim )
Firman Allah SWT
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ
عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: "Kecelakaanlah bagi
orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya."
(Surah
Al-Ma'un : 4-5).
Kedua : Jangan masuk ke tandas atau bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar).
Takut kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita.
Perlu biasakan memakai selipar atau
terompak bila masuk ketandas atau bilik air untuk menjaga kebersihan kaki kita
setelah mandi dan mengambil wuduk, supaya najis tidak dibawa keluar bilik air.
Ketiga : Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh
kerana ia membahayakan. Dan jangan bernafas dalam minuman atau meniup kedalam
minuman.
Di dalam kitab Sunan Abi Daud
diriwayatkan hadis dari Abu Said Al-Khudri bahawa ia mengkhabarkan :
"Rasulullah Sallalahu 'Alaihi Wasalam melarang minum dari bahagian cawan
yang pecah dan melarang untuk bernafas dalam air minum."
Jika cawan atau pingan kita retak ,
pecah atau sumbing hendaklah dibuangkan sahaja jangan digunakan lagi. Ini termasuk etika yang diajarkan untuk
kemaslahatan orang yang minum, sebab minum melalui bahagian cawan yang sumbing
boleh menyebabkan beberapa bahaya:
Kotoran yang biasanya ada dipermukaan
air, akan berkumpul di bahagian cawan yang sumbinng, lain halnya bahagian tepi
cawan yang masih utuh.
1. Ia boleh mengganggu ketika minum.
Minum melalui bahagian cawan yang sumbing atau pecah tidak boleh dilakukan
dengan baik.
2. Kotoran dan seumpamanya biasa
terhimpun di bahagian cawan yang pecah, kerana tidak ikut dibersihkan ketika
dicuci, tidak sebagaimana cawan yang masih baik.
3. Bahagian yang sumbing adalah bahagian
yang buruk pada cawan, iaitu bahagian yang paling tidak bagus hingga mesti
dielakkan, lebih baik dicari bahagian yang masih baik, sebab bahagian yang
buruk dari segala sesuatu pasti tidak ada baiknya.
4. Boleh jadi bahagian yang pecah itu
mempunyai belahan atau bahagian yang runcing yang boleh melukai mulut orang
yang minum melalui bahagian tersebut.
Adapun bernafas dalam air minum,
risikonya adalah menimbulkan bau busuk pada air minum yang tidak disukai orang
lain, terutama sekali orang yang bau mulutnya mengalami perubahan buruk. Pada
dasarnya, secara umum nafas orang yang minum akan bercampur ke dalam air
tersebut.
Justeru, Rasulullah Sallahu 'Alaihi
Wasalam menggabungkan antara larangan meniup air dan larangan bernafas dalam
air dalam hadis At-Tirmizi dan dinyatakan sahih oleh beliau, dari Ibnu Abbas
bahawa ia mengkhabarkan :
"Rasulullah melarang meniup air dan bernafas
dalam air minum."
Keempat : Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh.
Makruh dan mewarisi kepapaan.
Pastikan semua pingan mangkuk, periuk belanga,
cawan dan bekas makanan dicuci sebaik sahaja selesai digunakan. Sisi-sisi
makanan yang dibiarkan didalam bekas makanan bermalaman tanpa dibersihkan
adalah menjadi habuan syaitan , kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor
dan busuk.
Islam menggalakkan kebersihan dan benci
pada sifat pengotor dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh
mendatangkan penyakit.
Dari 'Amr bin Syu'aib : 'Rasulullah SAW
bersabda: "Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya
atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya
dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.'
( HR : Imam
Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadis Hassan.)
Kelima : Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi
itu membuka pintu rezeki dan keberkatan).
Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah
melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya,
"Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"
Rasulullah SAW tidak tidur selepas
menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi,
seperti satu hadis yang berbunyi: 'اللهم بارك لأمتي في بكورها'
(Ya Allah, berkatilah umatku yang
berpagi-pagi). Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat Subuh.
Telah thabit dari Nabi SAW bahawasanya
baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi,
sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam
Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu
Subuh, maka baginda bersabda:
يا بنية قومي اشهدي رزق ربك، ولا تكوني من
الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس '
"Wahai anakku, bangunlah dan
hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang
lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar
hingga terbit matahari."
( HR : al-Baihaqi )
Berkata Nabi di dalam hadis yang
diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam al-Awsath:
باكروا الغدو -أي الصباح- في طلب الرزق،
فإن الغدو بركة ونجاح'
"Berpagi-pagilah (subuh) dalam
mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan."
Oleh itu para fuqaha' menetapkan
kemakruhan tidur selepas solat Subuh, dan dinukilkan oleh Imam as-Safarini
mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar.
Keenam : Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita
di kongsi syaitan.
Dari 'Amr bin Abu Salamah radhiallahu
'anhuma, katanya: "Rasulullah SAW bersabda kepadaku:
"Ucapkanlah
Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang
ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)
Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi
r.a., katanya: "Rasulullah SAW (pada suatu ketika) duduk di situ ada
seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya
tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu
yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: 'Bismillahi
awwalahu wa akhirahu. Kemudian Nabi SAW. ketawa lalu bersabda: "Tidak
henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat
untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan
tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya.
( HR : Abu Dawud dan Nasa'i )
Ketujuh : Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut
kita mati dalam perjalanan dengan niat yang tidak baik.
Membaca doa bila hendak keluar daripada
rumah. "Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa
billah"
maksudnya: "Dengan nama Allah, aku
berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah."
( HR : Abu Daud, Tirmidzi & Nasai )
Sunnah berikutnya adalah mendahulukan
kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum
keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta memastikan barang
bawaan tidak ada yang tertinggal.
Kelapan : Jangan pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun memakai
sebelah sahaja.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Jika engkau
memakai kasutmu, mulailah dengan kaki kanan. Jika engkau menanggalkan kasutmu,
mulailah dengan kaki kiri. Hendaknya sebelah kanan mula memakai kasut dan
sebelah kiri mula menanggalkan kasut. Dan jangan berjalan dengan sebelah kasut.
Tanggalkan kedua-duanya atau pakai kedua-duanya" (Silsilah as-Shahihah Albani)
Kesembilan : Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi
dosa.
Allah SWT berfirman
maksudnya : "Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki agar mereka
menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan
mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya
Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada
wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara
kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa
nampak daripadanya."
( Surah An-Nur : 30-31 )
Kesepuluh : Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia
melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana
sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan."
( HR : Bukhari, Muslim dan
lain-lain )
Kesebelas : Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang
bila-bila masa.
Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya
agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia,
bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang
ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan
kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan
mengingati-Nya (zikrullah)."
Justeru itu bertaubat dan memohon
keampunan daripada Allah SWT perlulah dibuat secara berterusan tanpa
henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke masa. Ini kerana, setiap insan
tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar atau kecil, dosa batin atau
lahir, dosa yang diketahui atau tidak atau lalai dalam menunaikan hak Allah dan
manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama
dan sebagainya juga tidak terkecuali.
Kedua belas : Jangan ego (sombong) untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama
manusia kalau memang kita bersalah.
Sifat orang mukmin akan sentiasa meminta
maaf dan merendahkan diri terhadap kedua ibu bapanya. Sentiasa memberi khidmat
terbaik terutama apabila mereka menjangkau usia tua yang uzur. Begitu juga
sifat orang mukmin yang suka meminta maaf kepada siapa sahaja orang lain yang
dirasakan bersalah .
Di dalam surah al-Israk, firman Allah
yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali,
sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau
berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan
"Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi
katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
(Surah al-Israk : 23)
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah
S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman
yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan
kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah
ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya
sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak
untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan
diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk
diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan
diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke
atasnya."
( HR : Bukhari )
Ketiga belas : Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita hilang
bahagia.
Dari Abu Hurairah r.a menceritakan
bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah?
Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui."
Maka
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya , "Ghaibah itu jika kamu menyebut
(membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau
dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah."
Lalu Rasulullah
SAW ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "
Jawab
Rasulullah SAW " Bila apa yang kamu ceritakan itu ada pada diri
saudaramu, maka kamu telah melakukan ghibah terhadapnya. Dan bila apa yang kamu
katakan itu tidak ada pada diri saudaramu, bererti kamu telah mengada-ada
tentangnya (menfitnahnya)."
( HR : Muslim )
Keempat belas : Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita
sombong apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka
Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah
al-Thalaq : 3 ).
Kelima belas : Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah boleh memadamkan kemurkaan Allah
SWT dan kematian yang buruk.
Rasulullah SAW bersabda:
"Si pemurah
yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil."
( HR : Al Khatib )
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
"Sungguh sedekah itu akan memadamkan
kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah)."
( HR : al-Turmuzi )
Dari Abu Hurairah r.a, bahwa
sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda :
"Apabila mati anak adam maka
terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan
anak yang soleh yang mendoakannya untuknya."
( HR : Bukhari ).
Nabi SAW bersabda maksudnya :
"Sesiapa
yang sanggup diantara kamu menjaga dirinya daripada api neraka hendaklah ia
bersedekah walau hanya dengan sebiji kurma, dan sesiapa yang tidak mempunyai
apa-apa hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik."
( HR : Ahmad dan
Muslim )
Keenam belas : Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
Suatu ketika, Rasulullah SAW berjalan di
depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang
bermaksud:
"Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika
kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit
ketawa."
( HR : Bukhari dan Abu Hurairah).
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW
mengingatkan kita banyak ketawa dengan sabda baginda yang bermaksud: "Terlalu
banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita."
Ketujuh belas : Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan
menghilangkan kasih orang kepada kita.
Rasulullah S.A.W. bersabda kepada
Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Berbuatlah jujur
sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu
bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu
ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari."
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Empat
perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik
tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada
satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita
ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang."
( HR : Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah
bin Amr bin Ash r.a.)
Kelapan belas : Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang
teraniaya cepat dimakbulkan Allah SWT.
Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi
di fitnah sungguh mustajab di sisi Allah S.W.T.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :
"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia
adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk
diterima oleh Allah."
( HR : Ahmad - sanad hasan)
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W.
bersabda maksudnya :
"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi.
Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke
udara."
( HR : Hakim - sanad sahih)
Kesembilan belas : Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih
utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat
tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai.
Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan.
Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat
jahat dan kemungkaran., anggaplah kesukaran di dunia adalah bersifat sementara
dan jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :
"... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan
Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah
itu melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusof : 87).
Sabda Nabi SAW maksudnya;
"Jadilah engkau
di dunia seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi
dan apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang, Perumpamaan aku dan dunia
seperti orang musafir duduk berteduh dibawah pokok kemudian bangun dan
meninggalkannya. "
Kedua puluh : Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk
keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.
Sesungguhnya setiap perkara yang
dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada
kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak
melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lambah kebinasaan.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu
takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada
ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga
perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum
seseorang dengan dirinya sendiri."
( HR : Abu Syeikh)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita tinggalkan dan
jauhi 20 perkara keburukan semata-maat untuk mencari keredaan Allah SWT. Hidup
di dunia adalah sementara dan akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.
Pertingkatkanlah amal-amal soleh kita dan jauhi kemugkaran, maksiat, perkara
subhat dan makruh supaya kita menjadi mukmin yang bertakwa dan dikasihi oleh
Allah SWT.
* CK cuma copy je.. Ni semua peringatan yang membuka mata dan hati CK bila membacanya. Terlintas di hati nak share dekat sini. Kita semua nak masuk syurga Allah kan? Tapi kenapa tak berubah untuk kita layak masuk ke dalamnya.. Fikir-fikirkan dan selamat beramal dengannya.
Pimpinku terus ke jalan lurusMu, Ya Rabb..
♥ Kalau like, klik like ♥
No comments:
Post a Comment