Assalamualaikum..CK nak share cerita lagi kali nih..Sebelum ni CK dah penah baca cerita nih kat 'mukabuku'..sedih..sampai mengalir air mata kot..kalian jugak mesti penah baca dah kan..kali ni CK ambik daripada sebuah blog plak.."Mohon copy ye.."..Tambah koleksi kat blog sendiri..agak panjang cerita nih..luangkan masa sedikit ye..
______ ♥ ______
“Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh!
Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik,
yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab
sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang
ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah
dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter
ibu lagi.
Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus
membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia
melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali
ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya
lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau
pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin
berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di
kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal
sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan
ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu
merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.
“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat
lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar
tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?”
Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang
kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu,
sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along
memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan
rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi
menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan
tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula
berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis
kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak
mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan
ibunya menangis lagi kerananya.
Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa
matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu
petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini
marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di
sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah
untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat
menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara.
Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak
pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along
mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia
berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang
berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat
namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak
seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun
masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah
ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi,
sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan
biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada
mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat
keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan
sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along
sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu
tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak
derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah
gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga. (pliz klik "Read more")
Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu
bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak
acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak
mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum
memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian
mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong.
Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat
dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji
terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik
pintu sambil memerhatikan mereka.
“ Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri
ye!?” Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang
pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah
menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara
Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya.
“Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu... Ibu tau
Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan
sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut.
Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan
ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along. “Kak Ngah dengan Alang nak
balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu
mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah
ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along
balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih.
Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari balik
rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan
sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat
Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along
mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak
mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat
disayanginya. “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah
dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu
kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak
senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang
derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah
didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah.. Disebabkan
itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia
menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba
di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada
sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik.
‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along
melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu,
bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu
Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu
sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak
buat apa kat sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak
tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur.
“waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?”
Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. “Betul ke ni Riz? Nanti
marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku
mesti bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan
la. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya
menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar
sikit-sikit.” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju.
Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi
silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”, soal
Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku
seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak
sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau
jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya
mengangguk senyum.
Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor
tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah.
Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah
mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana
sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan
diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan
nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei,
kucing kesayangan arwah ayahnya. “Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi
kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya
daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak makan kat luar
ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam.
Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada
apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan.
Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak
berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu
kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang
belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab
kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia
mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka belajar, berhenti
je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu",
sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini
kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka
semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya
memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi.
Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.
Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula
jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab,
pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan
tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah
selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat
subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian,
Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat
si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan
selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari
justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu.
Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan.
Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe
sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit
sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi,
dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada
rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia
juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak
tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan
itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.
Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di
bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat
hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya
menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau
jangan marah k!”, soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus
tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan.
“Sebenarnya, kau lari dari rumah kan ?” Along tersedak mendengar soalan itu.
Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan
menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air..
“Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba
menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along
mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan.
Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada
cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat
reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. “ Ada ” jawab Along
pendek “Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola?
Mekanik macam aku…atau….” Along menggeleng-gelengkan kepala. “semua tak…Cuma
satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli
ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius
menjawab soalannya itu. “ Ala , gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak
bawa ibu saya ke Mekah dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”.. Perlahan
sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe
tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali
seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel
itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.
Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja
masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak
berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. “Abang
Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya
beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe
yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya
anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk
lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. “Abang
Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe
tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi. “Tapi, kau kan boleh
datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau
kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum
memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak
ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan
abang ni semakin maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe
memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.
Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz
untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah
dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi?
Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz
setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh menampakkan
giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar
pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun,
aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang
Along dengan tenang. “Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau
ingat kau yang salah", kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu
aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang
dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along
memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli
jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”,
pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No
problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” , soal Fariz ingin tahu. “Aku
kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia", terang Along. “Abang Joe
mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik
kantin kita tu!”, jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam,
kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari
lahir ibu kau hari ni ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak
tunggu minggu depan je?”, soal Fariz lagi.. “Aku rasa hari ni je yang yang
sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah
aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun.
Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu.
Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima
hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang
hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak
daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari
depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along
terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya.
Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya,
Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan
dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak
berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai
dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya
juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin
tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang–orang yang
sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus
dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia
sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya.
Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya.
Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu.. Along semakin
lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang
masih digenggamannya itu. “Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha
mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu
begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air
matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin
kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke
wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk
selama-lamanya.
Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur
Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan
bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah
jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat ibu yang sangat
dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati
ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan
membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari
lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…..UNTUKMU IBU!’ Kad itu dilipat dan dicium.
Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang
dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan
pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan
masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu
mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. “Makcik, ampunkan segala
kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik.
Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat
kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat
lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa
Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila…”
cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di
ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik..
“Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu
sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu.
Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua
ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi
dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....”
Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak
sahabatnya itu.
Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh
anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh
hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama
ini dianggap derhaka.
Sumber : Rudy Syah
*Mak,adik rindu kat mak..Dah 6tahun lebih mak pergi..Hari2 adik ingat mak..Tak pernah lupa dalam doa adik..semoga mak berada ditempat orang-orang yang beriman..al-Fatihah..♥
Sumber : Rudy Syah
*Mak,adik rindu kat mak..Dah 6tahun lebih mak pergi..Hari2 adik ingat mak..Tak pernah lupa dalam doa adik..semoga mak berada ditempat orang-orang yang beriman..al-Fatihah..♥
No comments:
Post a Comment