BMW mewah laju menyusur mendaki bukit. Dari jauh Iman dapat melihat sebuah villa yang tersergam indah. Cantik. Mifzal terus memandu kereta masuk ke perkarangan villa tersebut. Seorang lelaki mengangkat tangan tanda sapa kepada Mifzal. Mungkin lelaki itu penjaga villa ini.
"Tuan dah sampai. Macam mana perjalanan tadi?" Lelaki tadi menegur sejurus Mifzal keluar daripada kereta. Lelaki itu mendekati Mifzal. Iman hanya memerhati. Sesekali lelaki itu memandang ke arah Iman. Sara pula sudah berlari masuk ke dalam villa.
"Alhamdulillah. Segalanya selamat walaupun jalan sesak sangat tadi." Mifzal menjawab.
"Bagus la macam tu. Emm..Tuan, yang ni siapa pula?" soal lelaki separuh abad itu sambil memandang kepada Iman. Siapa pula wanita yang bersama dengan Tuan Besar dia ni? Adakah teman wanita majikannya?
Mifzal menepuk dahinya. Nyaris dia terlupa bahawa Iman turut ada bersama mereka. Selalunya Mifzal datang ke villa berseorangan.
"Oh..Lupa pula nak perkenalkan pada Pak Mail. Iman, mari sini.."
Iman yang dari tadi membatu di tepi kereta datang mendekati Mifzal dan Pak Mail. Iman memandang Pak Mail yang dari tadi asyik merenungnya. Serba salah pula rasanya. Nak senyum ke tak ni..
"Pak Mail, perkenalkan ni Iman, pekerja baru saya kat kedai tu. Dan Iman, ni Pak Ismail tapi kami kat sini panggil Pak Mail je. Pak Mail ni penjaga villa ini." Terang Mifzal.
Pak Mail tersenyum. Lega hati Iman selepas melihat senyuman yang terukir tu. Mahu je dia balik ke Bangi semula selepas merasakan dirinya seperti tidak dialukan ke villa tersebut. Iman membalas senyuman Pak Mail dan menganggukkan sedikit kepala tanda sapanya kepada Pak Mail.
Pak Mail menolong mereka mengeluarkan barang-barang yang ada dalam bonet. Beg semua diangkat masuk ke dalam villa. Iman membontoti Mifzal daripada belakang. Sambil itu pandangan Iman pada sekitar kawasan villa tersebut. Cantik dan kemas. Berkonsepkan taman. Tambahan lagi udara yang nyaman memang menyegarkan minda yang sedia serabut sejak kebelakangan ini.
"Iman, termenung apa lagi tu? Masuk la.." Mifzal mematikan lamunan Iman. Tersengih Iman bila ditegur begitu. Malu.
Iman melangkah masuk ke dalam villa. Dia dapat melihat kelibat seorang wanita yang hampir sebaya dengan Pak Mail menghampiri mereka di pintu utama. Wanita tadi melemparkan senyuman kepada Mifzal dan Iman.
"Mak Tia, ini Iman, pekerja saya. Dan Iman, ni Mak Tia pembantu di villa ni." Mifzal memperkenalkan sebelum Mak Tia bertanya.
Mak Tia tersenyum lagi. Iman menyalami Mak Tia. Sopan.
"Mak Tia tahu dah. Sara tadi masuk terus pergi dapur bagi tahu ada tetamu baru datang hari ni." Senyuman Mak Tia meleret sambil memandang Iman.
Iman terpinga. Pelik pula tengok senyuman Mak Tia. Iman memandang ke arah Mifzal seakan meminta penjelasan. Mifzal hanya memandang Iman sebelum berlalu ke ruang tamu. Cis, dia boleh buat tak endah je dengan aku? Getus hati Iman.
Mak Tia sudah berlalu ke dapur. Iman mengikut Mifzal ke ruang tamu. Sungguh dia tak tahu hendak ke mana sekarang. Hanya menunggu arahan. Mifzal sudah duduk tersandar di sofa. Penat sangat agaknya memandu tadi.
Mata Iman tidak puas memandang dekorasi dalam villa tersebut. Hatinya tak jemu-jemu memuji kecantikan dan kekemasan susun atur barang dalam villa itu. Tidak serabut mata memandang. Iman masih leka menjamu matanya dengan perhiasan yang ada.
"Tuan, makanan dah disediakan. Mari makan dulu."
Tersentak Iman apabila tiba-tiba Mak Tia bersuara di sebelahnya. Laju Iman memandang Mak Tia di sebelahnya. Pandangannya tumpah pada Mifzal pula. Emm..Patut la tiada jawapan daripada Mifzal. Rupanya dia sudah terlena di atas sofa.
Iman memandang Mak Tia pula. Mak Tia hanya menjongketkan bahu. Iman tersenyum. Biarlah Mifzal tidur sebentar. Penat tu.
Mak Tia yang ingin berlalu ke dapur berpaling sejurus lengannya disentuh oleh Iman.
"Maaf ye Mak Tia. Saya nak tanya tempat untuk solat. Saya belum solat Zohor lagi ni."
"Oh..Mari Mak Tia tunjukkan bilik cik Iman." Iman mengangguk. Iman hanya mengikut Mak Tia ke tingkat atas.
"Ini bilik cik Iman. Solat dan berehat la. Kalau lepas solat nak makan, turun la. Mak Tia dah sediakan makanan tu. Nanti sejuk pula." Jelas Mak Tia.
"Baik la, Mak Tia." Iman tersenyum lagi. Mak Tia segera turun ke dapur untuk menyambung kerjanya semula. Iman sudah terbaring di atas katil. Besarnya bilik. Lengkap dengan sofa dan tv. Ni kalau buat bilik sewa mesti masyuk ni. Detik Iman.
Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Kosong. Tiada sebarang SMS atau call yang masuk. Memang Daiyan dah lupa kepadanya. Kedengaran keluhan yang panjang. Iman sungguh penat memikirkan apa yang sudah berlaku kepada kekasih hatinya itu. Sakitkah dia? Ishh..Minta dijauhkan..
_______________♥_______________
Opah melipat semula surat-surat lama yang telah dibacanya. Ditatap lama surat-surat di hadapannya. Masih segar di ingatan apa yang berlaku 20 tahun yang lepas. Amani pergi meninggalkannya dengan sepucuk surat.
Assalamualaikum..
Mak wan, maafkan Amani. Amani terpaksa buat begini. Semuanya untuk kebaikan Amni juga. Keselamatan Amni yang paling penting sekarang. Jangan risau, Amani akan kembali semula demi Amni. Amani akan masukkan duit untuk kegunaan Mak wan dan juga Amni. Maafkan Amani..
Opah memejamkan matanya. Itu adalah amanah yang telah diserahkan kepadanya..Sungguh berat namun hatinya merelakan. Segalanya akan berubah tidak lama lagi. Opah mengesat air mata yang mengalir. Kasihan anak kecil itu. Menanggung derita sejak dilahirkan.
Beg biru yang begitu berharga buatnya. Itulah amanah yang akan datang. Hanya menunggu masanya tiba. Beg kecil yang tersimpan penuh segala rahsia. Aku yang perlu kuat, bertahan sehingga tiba masanya. Aku tak boleh rebah sebelum sempat menyampaikan segala amanah ini. Bisik hati opah.
Hujan yang lebat turun membasahi bumi. Adakah Iman baik-baik saja di sana? Harap begitulah.
No comments:
Post a Comment